Anda pengunjung blog ke :

Ahad, 30 Disember 2012

Sorotan Tahun 2012

Assalamualaikum... Salam sejahtera, salam kasih sayang, dan semoga kita semua sentiasa berada di dalam kerahmatan Allah.

Sedar tidak sedar, ada lagi sehari untuk tahun 2012 melabuhkan tirainya.
Entah mengapa saya berasa tahun ini begitu pantas berlalu.
Pelbagai detik dan peristiwa telah dilalui.
Ada yang mengejutkan, menggembirakan, menyedihkan, dan macam-macam lagi.

Bermula dari tarikh 10 Januari 2012, saya menerima berita yang mengejutkan iaitu dipostingkan ke negeri Sarawak, dalam bahagian Kapit. Pada masa itu ayah sedang sakit kuat. Namun, dengan izin Allah ayah kembali sihat dan mampu menghantar saya ke lapangan terbang.

Pada 1 Februari 2012 saya telah memulakan tugas rasmi saya sebagai seorang guru di Sekolah Kebangsaan Kapit, Sarawak.

Kemudian pada 12 Mac 2012, saya telah menerima segulung Ijazah Sarjana Muda Perguruan dengan kepujian di PICC disaksikan oleh emak, ayah, abang, dan anak saudara saya. Takdir tuhan tiada siapa yang dapat meneka dan menyangka. Saya dipertemukan dengan suami saya sebelum perarakan masuk graduan ke dalam dewan. SubhanAllah, sungguh hebat perancangan Allah.

Tanggal 27 Mei 2012 bersamaan 6 Rejab 1433 Hijrah, pada hari Ahad yang mendamaikan, saya telah menamatkan zaman bujang saya. Saya telah berkahwin dengan seorang guru di Kapit yang berasal dari Perak, Mohd Hafiz Bin Mohd Sabri yang disempurnakan oleh wali saya iaitu ayah, Haji Isnin Bin Baderun. Alhamdulillah, Allah telah mengabulkan doa. Saya berkahwin dan ayah sendiri yang mengijab kabulkan saya. Entah mengapa saya lihat ayah begitu lega dan gembira seusai sahaja majlis pernikahan itu. Bagai ada satu beban dibahunya telah dilepaskan.

Pada bulan Julai 2012 satu persatu berita yang menyenangkan diterima setelah pelbagai suka duka telah dilalui semenjak bergelar isteri. Dikurniakan rezeki oleh Allah pada awal tempoh perkahwinan dan suami pula dapat ditukarkan dari pedalaman 3 ke pekan kapit. Keyakinan saya pada aturan Allah semakin kuat. Ketahuilah bahawa setiap kesulitan pasti Allah akan berikan kemudahan. Sentiasalah berdoa dan memohon agar dipermudahkan segala urusan dari Allah.

22 Ogos 2012 merupakan Majlis Menyambut Menantu saya dan suami yang diadakan di Kampung Gajah, Perak. Saya amat terharu dengan majlis yang disediakan untuk kami dan amat berterima kasih dengan keluarga suami atas sambutan yang meriah. Saya juga bersyukur dengan kehadiran ahli keluarga saya ke majlis ini dan pulang dengan selamat ke rumah.

Pada 14 Disember 2012, Allah telah menguji kami sekeluarga dengan kehilangan ayahanda yang tercinta. Ayah telah menghembuskan nafas yang terakhir beliau pada jam 5 petang disaksikan oleh ahli keluarga di kerusi malasnya. Namun saya tidak sempat berada pada detik itu kerana saya dan suami menghantar petugas klinik kembali ke klinik. Sungguh, saya kesal kerana tidak dapat menyaksikan detik akhir itu. Namun saya sentiasa mengingatkan diri bahawa dari Allah kita datang, kepada Allah jua kita kembali. Akhirnya saya redha. Arwah ayah pergi meninggalkan kami setelah beberapa kali menghidapi penyakit strok. Pada hari saya pulang ke rumah, ayah telah jatuh di bawah pokok ciku dibelakang rumah. Semenjak itu, strok ayah datang kembali. Walaupun tidak dapat berbual dengan ayah secara bersemuka semenjak saya pulang dari Kapit, saya tetap bersyukur kerana ayah telah dijemput oleh Allah pada hari Jumaat. Sehingga kini terasa bagaikan ayah masih hidup. Bila tersedar, lekas saya sedekahkan Al-fatihah untuknya moga-moga rohnya tenang di sana.

Dan kini, 30 Disember 2012... Saya telah kembali ke Bumi Kenyalang ini meneruskan tanggungjawab seorang pendidik. Semoga ada rezeki untuk kami pulang ke semenanjung dan berada di sisi insan-insan yang kami sayangi terutamanya emak yang keseorangan di rumah dan hanya ditemani oleh abang.

Selamat tinggal tahun 2012. Semoga segala kenangan dan peristiwa yang berlaku tidak akan luput dari ingatan. Dan semoga tahun 2013 ini membawa seribu kebaikan buat kita semua. Amin.

Sekian sorotan tahun 2012. Jumpa lagi.


P/s: Syukur padamu ya Allah atas segalnya. Terima kasih suamiku kerana sentiasa menemani diri ini dalam setiap kisah suka dan duka. Semoga jodoh kita berpanjangan hingga ke syurga. Amin...

Rabu, 7 November 2012

Cuti Datang Lagi!


Motif post? Saja je nak buang sawang2 dalam laman web blog ni.

Apa yang penting, saya dan suami tidak sabar-sabar pulang ke kampung di Johor mahupun Perak untuk menziarahi kedua ibu bapa kami, ahli keluarga, dan sanak saudara.

Ya Allah, peliharalah perjalanan kami pergi dan balik berbantukan pelbagai jenis kenderaan. Amin

Selamat bercuti untuk semua. Semoga cuti sekolah kali ini bermanfaat untuk semua. InsyAllah. =)

Khamis, 6 September 2012

9 minggu


Sekadar perkongsian. Ibu mengandung digalakkan untuk memperbanyak bacaan surah -surah tersebut. Namun seelok-eloknya hendaklah mengkhatamkan dulu bacaan Al-quran yang sedang dibaca. Surah Yusuf juga dibaca agar memperoleh anak yang sihat, soleh, dan sempurna.  Namun semuanya terletak atas niat kita iaitu membaca kerana Allah taa'la insyAllah. (Sumber : Facebook Oh! Media!)
Para bakal ibu juga disarankan agar mengamalkan wirid-wirid yang sesuai dan boleh diamalkan di masa-masa lapang.


Doa ini boleh dan baik untuk diamalkan oleh para bakal ibu pada setiap hari.

Maksud doa:
"Ya Allah, peliharalah anakku selama di dalam kandunganku dan sembuhkanlah segala penyakit. Sesungguhnya Engkau Maha Penyembuh dan tiada kesembuhan melainkan dengan penawarMu. Ya Allah, lahirkanlah daripada kandungan ku ini dengan kelahiran mudah dan sejahtera.

Ya Allah jadikanlah anakku ini sihat, sempurna, cerdik, berakal, serta beramal soleh. Ya Allah elokkanlah perangainya, fasihkanlah lidahnya untuk membaca al-Quran dengan berkat Nabi Muhammad S.A.W.

Ya Tuhanku, berikanlah kepadaku seorang anak yang soleh. Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar permohonanku. Dan segala puji bagi Allah Tuhan pentadbir sekalian alam. "





Gambar Screening pada usia 9 minggu. Jantung bayi sudah mula berdegup namun bentuk  masih belum terbentuk sepenuhnya. SubahanAllah, penulis rasa ingin menangis tatkala melihat keajaiban itu. Sungguh hebat ciptaan Allah. Allahuakbar.



Ya Allah, jadikanlah anak ini seorang anak yang soleh atau solehah kelak
serta menjadi pejuang yang berbakti kepada agamanya. Amin.

Khamis, 30 Ogos 2012

Majlis Menyambut Menantu di Kg Gajah, Perak


Tarikh : 22 Ogos 2012 / 4 Syawal 1433H
Lokasi : No. 9, RPA 2, Kampong Gajah, Perak


Bergambar bersama ibu bapa pengantin perempuan.

Bergambar kenangan bersama ahli keluarga sebelah pengantin perempuan.



Bergambar bersama ibu bapa pengantin lelaki.


Bergambar kenangan bersama ahli keluarga sebelah pengantin lelaki.

Majlis makan beradab dan acara memotong kek.

Majlis turut dihadir dan dimeriahkan oleh Shahir AF8 yang merupakan sahabat sekolah menengah suami.

Pengantin sempat ditemuramah oleh Shahir sebelum beliau menyampaikan lagu keduanya.

Antara rakan-rakan suami dari SMKA Slim River yang turut meraikan majlis.


Antara sahabat handai suami dari IPG Ipoh yang turut memeriahkan majlis.
Antara gambar di luar pintu (outdoor) yang sempat dirakam oleh adik ipar.

Syukur Alhamdulillah kerana majlis telah berjalan dengan lancar dan seperti yang dirancang.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada ahli keluarga saya iaitu Haji Isnin (ayah), Hajah Manisah (emak), Nurakilah (Kak Long), suami dan anak-anak, Azhari (abang), Norhayati (akak), suami, dan anak-anaknya, Rashid (abang), serta Abdul Rahim dan isteri kerana sudi hadir untuk menyerikan majlis kami di Kampong Gajah. Memori ini akan sentiasa kusemat di dalam hati. =)

Terima kasih juga diucapkan kepada ahli keluarga sebelah suami iaitu En sabri (ayah), Puan Fuziah (emak), Zaleha (akak ipar) dan juga suami, Kamaruddin (abang ipar) dan isteri, Rafidah (akak ipar) dan suami, Anisah, Hazimah, dan Hamizah kerana bertungkus lumus dalam mempersiap Majlis Menyambut Menantu di Kampong Gajah. Jasamu dikenang =)

Terima kasih kepada tetamu yang hadir kerana turut memeriahkan majlis serta memberi hadiah kepada kami. Semoga semua yang terlibat dalam majlis ini diberikan kebaikan dan ganjaran yang baik dari Allah.. Amin. InsyAllah.



Hadith no. 183

Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t berfirman kepada Malaikat pencatat amalan: Apabila hambaKu berniat ingin melakukan kejahatan, maka jangan lagi kamu menulisnya sebagai amalan kejahatan. Apabila dia melakukannya barulah kamu menulisnya sebagai satu amalan kejahatan. Jika hambaKu berniat ingin melakukan kebaikan, tetapi dia tidak lagi melakukannya, maka catatkanlah sebagai satu amalan kebaikan. Jika dia melakukannya maka catatkanlah kebaikan itu sepuluh kali ganda.



5 minggu

Okeh, saya tahu memang tak nampak apa pun. Kita zoom lagi..
Minggu ke 5 - Baru nampak kantung bayi sahaja.

Ini adalah gambaran sebenar bayi. Sumber ihsan dari facebook suami.

Masa mula-mula ingin menggunakan alat ujian kehamilan, hati memang berdebar-debar dan dalam hati saya berkata, biar apa sahaja keputusannya, semua adalah takdir dari Allah dan kami harus menerimanya. Akhirnya, setelah diuji keputusannya ada dua jalur merah iaitu "positif". Alhamdulillah, alangkah gembiranya hati saya dan suami.

Pada hari Selasa saya telah ke klinik dengan suami untuk buka rekod kesihatan ibu mengandung. Untuk pengetahuan, hari Selasa dan Khamis adalah merupakan hari perjumpaan ibu dan anak di Klinik Kesihatan Kapit. Saya diberitahu oleh doktor bahawa usia bayi baru 5 minggu. Jururawat juga ada memberikan penerangan mengenai kebaikan penyusuan susu ibu untuk bayi dan ibu.

Sepanjang tempoh hamil, bakal ibu dinasihatkan untuk mengambil pil yang mengandungi iron, vitamin C, asid folik, B complex, dan Magnesium. Hasil kajian dan temuramah, saya mendapati bahawa rata-rata ibu mengandung akan mengambil pil Obemin Pluz yang mengandungi kesemua vitamin dan mineral yang diperlukan untuk ibu.

Pengambilan pil ini penting kerana diawal usia kandungan, bayi sudah mula menyerap tenaga, vitamin, dan makanan dari badan ibu untuk terus membesar. Apakah kesannya, jika kita mengabaikan pengambilan pil tersebut? Kita akan kehilangan tenaga dan kerap muntah kerana kekurangan zat di dalam badan.

Seawal 5 minggu ini keadaan berjalan dengan baik. Kesihatan saya adalah normal dan mampu menjalankan tugas-tugas harian di rumah mahupun di sekolah. Walaupun pada setiap waktu malam dan sebelum sahur saya akan muntah namun Alhamdulillah, Allah telah memberikan peluang untuk saya berpuasa di bulan Ramadhan dengan baik.

Adakah keadaan yang baik ini akan berterusan sehingga ke minggu-minggu yang seterusnya?
Wallahualam... Tunggu sahaja kerana Pencipta Bayi ini lebih dan maha mengetahui.




Ya Allah, jadikanlah anak ini seorang anak yang soleh atau solehah kelak
serta menjadi pejuang Islam yang berbakti kepada agamanya. Amin.


Isnin, 2 Julai 2012

Jasa Pesara Imam Dihargai

Haji Isnin Bin Baderun (gambar di sebelah kiri)


2 Julai 2012, Endau - Jasa seorang pesara imam telah mendapat perhatian dan pengiktirafan daripada Jabatan Agama Islam negeri Johor. Pesara imam, Haji Isnin Bin Baderun, 68 tahun telah menerima anugerah pesara imam yang menyumbangkan amal bakti secara istiqamah walaupun telah bersara dari pekerjaan imam. Beliau telah menerima wang sagu hati beserta cenderamata tanda ingatan dari pihak Jabatan Agama Islam. Anugerah telah disampaikan pada majlis penyerahan bantuan fakir miskin bertempat di Masjid Felcra Seri Mahkota, Endau, Johor. Majlis juga turut dihadiri oleh Kadhi besar dari seluruh daerah di Johor serta kakitangan tinggi Jabatan Agama Islam Johor. Ulasan penerima anugerah "Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah kerana sumbangan dan jasa saya masih lagi mendapat perhatian daripada masyarakat setempat. Semoga saya akan terus berkhidmat kepada masyarakat selagi diizinkan oleh Allah". Diharapkan agar anugerah yang disampaikan ini dapat menyuntik semangat beliau untuk terus menyumbang bakti ke arah kemajuan masyarakat setempat. InsyAllah. -beritakapit-

Ps: Saya bangga dengan ayah! =)


Rabu, 27 Jun 2012

Hotel Budget di Bahagian Kapit, Sarawak







Post kali ini adalah khusus untuk mereka yang ingin mencari penginapan hotel-hotel budget yang ada di bahagian Kapit, Sarawak. Terutamanya bagi guru-guru yang diarahkan untuk berkursus di bahagian Kapit ini.

Berikut merupakan sedikit maklumat mengenai hotel berserta nombor telefon hotel untuk memudahkan anda membuat tempahan penginapan.


1)    Hiap Chong Hotel

No. Telefon : 084-796314, 084-799585
Lokasi         : Di belakang RHB Bank Kapit
Harga Bilik : RM40.00 dan ke atas.


2)    Green Height Inn

No. Telefon : 084-796105
Lokasi         : Bersebelahan dengan Homemart
Harga Bilik : RM70.00 dan ke atas


3)    Ark Hill Inn

No. Telefon : 084-796168
Lokasi         : Bersebelahan dengan pasar sayuran.
Harga Bilik : RM60.00 ke atas


4)    New Rejang Inn

No. Telefon : 084-796600
Lokasi         : Di hadapan Public Bank Kapit
Harga Bilik : RM60.00 dan ke atas


5)    Dunfang Hotel

No. Telefon : 084-797799
Lokasi         : Sebaris dengan RHB Bank Kapit
Harga Bilik : RM40.00 dan ke atas.


Sekian, maklumat akan sentiasa di tambah baik dari masa ke masa...
Di harapkan agar ianya dapat  membantu dalam memudahkan urusan anda yang akan berkunjung ke pekan bahagian Kapit.


Khamis, 14 Jun 2012

Majlis Perkahwinan dan Persandingan














       Alhamdulillah, sempurna sudah majlis Walimatulurus saya dan suami yang berlangsung di pekan nan permai iaitu Endau, Mersing, Johor pada 27 Mei 2012 bersamaan 6 Rejab 1432 H.

       Jutaan terima kasih diucapkan kepada kedua ibu bapa di Endau, kedua ibu bapa mertua di Kg Gajah, adik beradik saya Along, Azhari, Azak, Yati, Rashid, Rahim, dan Rahmah, ipar duai saya Abg Long, Kak Sarah, Abg Jep, Kak Ina, Kak Nin, dan Abg Yani yang telah banyak mencurahkan tenaga dan usaha sepanjang majlis ini berjalan.

       Terima kasih juga diucapkan kepada adik beradik ipar saya iaitu Yong dan Yop, Abg kamal dan keluarga, Kak Ummi sekeluarga, Anis, Imah, Mizah, dan saudara-mara terdekat kerana sudi menyerikan majlis kami di Endau, Johor.

       Terima kasih juga diucapkan kepada mereka yang hadir dan memberikan hadiah. Hanya Allah jualah yang dapat membalasnya. Mohon didoakan supaya perkahwinan kami sentiasa dalam lindungan dan kerahmatan dari Allah swt. Amin.. InsyAllah.

Sekian... (^_^)

Rabu, 13 Jun 2012

Spesis Fauna Unik Di SK Nanga Stapang


 Gambar-gambar berikut merupakan spesis fauna yang terdapat di SK Nanga Stapang, Kapit, Sarawak.

SK Nanga Stapang merupakan salah sebuah sekolah berstatus pedalaman tiga dalam di bahagian Kapit.

 Untuk berkunjung ke sana, anda perlu menaiki sebuah bot ekspress dan sebauh perahu yg dikemudi oleh "Apai".

Sangat mencabar laluan ke sana meskipun saya belum pernah lagi sampai di sana.

Gambar-gambar ini adalah sumbangan ihsan dari suami, Mohd Hafiz Bin Mohd Sabri yang merupakan salah seorang guru di sana. Terima kasih :)












Kesemua nama spesis ini masih lagi belum diketahui oleh saya.

Paparan pada kali ini hanyalah sekadar untuk menunjukkan kepada pembaca mengenai kehebatan dan kekuasaan Allah yang menciptakan haiwan dan serangga dengan jenis-jenis yang tersendiri.

SubhanAllah!

Jumaat, 1 Jun 2012

Majlis Pernikahan Hafiz dan Hidayah

Tarikh : 27 Mei 2012
Masa : 9.00 pagi
Lokasi : Endau, Johor


Bersama suami, ibu bapa, dan ibu bapa mertua.

Membaca lafaz taat setia di hadapan suami, Mohd Hafiz bin Mohd Sabri


Ibu mertua, Puan Fuziah Binti Sohor menyarungkan cincin tunang.



Ayah sedang menandatangani persertujuan wali di surat nikah.


Akad nikah sedang berlangsung. Ayah menikahkan saya dan suami sendiri.

Alhamdulillah, selesai sudah akad nikah. Doa dibacakan.

Suami membacakan lafaz taklik di hadapan jurunikah, Ustaz Norman.

Ayah, Haji Isnin Bin Baderun menyambut ketibaan bakal menantu.

Sesi taaruf antara ayah dan ayah mertua, Encik Mohd Sabri Bin Yatim.







Semoga ikatan yang dibina ini akan kekal selamanya sehingga ke syurga.
Amin...


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Suka