Anda pengunjung blog ke :

Ahad, 30 Disember 2012

Sorotan Tahun 2012

Assalamualaikum... Salam sejahtera, salam kasih sayang, dan semoga kita semua sentiasa berada di dalam kerahmatan Allah.

Sedar tidak sedar, ada lagi sehari untuk tahun 2012 melabuhkan tirainya.
Entah mengapa saya berasa tahun ini begitu pantas berlalu.
Pelbagai detik dan peristiwa telah dilalui.
Ada yang mengejutkan, menggembirakan, menyedihkan, dan macam-macam lagi.

Bermula dari tarikh 10 Januari 2012, saya menerima berita yang mengejutkan iaitu dipostingkan ke negeri Sarawak, dalam bahagian Kapit. Pada masa itu ayah sedang sakit kuat. Namun, dengan izin Allah ayah kembali sihat dan mampu menghantar saya ke lapangan terbang.

Pada 1 Februari 2012 saya telah memulakan tugas rasmi saya sebagai seorang guru di Sekolah Kebangsaan Kapit, Sarawak.

Kemudian pada 12 Mac 2012, saya telah menerima segulung Ijazah Sarjana Muda Perguruan dengan kepujian di PICC disaksikan oleh emak, ayah, abang, dan anak saudara saya. Takdir tuhan tiada siapa yang dapat meneka dan menyangka. Saya dipertemukan dengan suami saya sebelum perarakan masuk graduan ke dalam dewan. SubhanAllah, sungguh hebat perancangan Allah.

Tanggal 27 Mei 2012 bersamaan 6 Rejab 1433 Hijrah, pada hari Ahad yang mendamaikan, saya telah menamatkan zaman bujang saya. Saya telah berkahwin dengan seorang guru di Kapit yang berasal dari Perak, Mohd Hafiz Bin Mohd Sabri yang disempurnakan oleh wali saya iaitu ayah, Haji Isnin Bin Baderun. Alhamdulillah, Allah telah mengabulkan doa. Saya berkahwin dan ayah sendiri yang mengijab kabulkan saya. Entah mengapa saya lihat ayah begitu lega dan gembira seusai sahaja majlis pernikahan itu. Bagai ada satu beban dibahunya telah dilepaskan.

Pada bulan Julai 2012 satu persatu berita yang menyenangkan diterima setelah pelbagai suka duka telah dilalui semenjak bergelar isteri. Dikurniakan rezeki oleh Allah pada awal tempoh perkahwinan dan suami pula dapat ditukarkan dari pedalaman 3 ke pekan kapit. Keyakinan saya pada aturan Allah semakin kuat. Ketahuilah bahawa setiap kesulitan pasti Allah akan berikan kemudahan. Sentiasalah berdoa dan memohon agar dipermudahkan segala urusan dari Allah.

22 Ogos 2012 merupakan Majlis Menyambut Menantu saya dan suami yang diadakan di Kampung Gajah, Perak. Saya amat terharu dengan majlis yang disediakan untuk kami dan amat berterima kasih dengan keluarga suami atas sambutan yang meriah. Saya juga bersyukur dengan kehadiran ahli keluarga saya ke majlis ini dan pulang dengan selamat ke rumah.

Pada 14 Disember 2012, Allah telah menguji kami sekeluarga dengan kehilangan ayahanda yang tercinta. Ayah telah menghembuskan nafas yang terakhir beliau pada jam 5 petang disaksikan oleh ahli keluarga di kerusi malasnya. Namun saya tidak sempat berada pada detik itu kerana saya dan suami menghantar petugas klinik kembali ke klinik. Sungguh, saya kesal kerana tidak dapat menyaksikan detik akhir itu. Namun saya sentiasa mengingatkan diri bahawa dari Allah kita datang, kepada Allah jua kita kembali. Akhirnya saya redha. Arwah ayah pergi meninggalkan kami setelah beberapa kali menghidapi penyakit strok. Pada hari saya pulang ke rumah, ayah telah jatuh di bawah pokok ciku dibelakang rumah. Semenjak itu, strok ayah datang kembali. Walaupun tidak dapat berbual dengan ayah secara bersemuka semenjak saya pulang dari Kapit, saya tetap bersyukur kerana ayah telah dijemput oleh Allah pada hari Jumaat. Sehingga kini terasa bagaikan ayah masih hidup. Bila tersedar, lekas saya sedekahkan Al-fatihah untuknya moga-moga rohnya tenang di sana.

Dan kini, 30 Disember 2012... Saya telah kembali ke Bumi Kenyalang ini meneruskan tanggungjawab seorang pendidik. Semoga ada rezeki untuk kami pulang ke semenanjung dan berada di sisi insan-insan yang kami sayangi terutamanya emak yang keseorangan di rumah dan hanya ditemani oleh abang.

Selamat tinggal tahun 2012. Semoga segala kenangan dan peristiwa yang berlaku tidak akan luput dari ingatan. Dan semoga tahun 2013 ini membawa seribu kebaikan buat kita semua. Amin.

Sekian sorotan tahun 2012. Jumpa lagi.


P/s: Syukur padamu ya Allah atas segalnya. Terima kasih suamiku kerana sentiasa menemani diri ini dalam setiap kisah suka dan duka. Semoga jodoh kita berpanjangan hingga ke syurga. Amin...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Suka