Anda pengunjung blog ke :

Selasa, 17 Mei 2011

Aku masih ingat (III)- Trivia Hari Guru

Bila aku singkap-singkap semula kisah hidup antara aku dengan guru..
memang cukup banyak..
Seawal usia 4 tahun, aku dah kenal dah siapa itu guru..
Dan berikut adalah antara sedikit kisah rahsia, trauma, kenangan, memori antara aku dan guru...

1) Zaman tadika.

Lokasi : Tadika KEMAS, Jalan Rajawali, Endau (tepi sungai)

Masa zaman tadika adalah zaman dimana berlakunya latih tubi menulis huruf dan nombor di atas buku garis tiga. Oleh kerana terlalu bosan dan penat dengan membuat latihan tersebut, maka aku yang dulunya genius sebab terlalu malas mengambil inisiatif sendiri iaitu
menulis dengan menggunakan pembaris!

Arakian tersebut, maka terlalu murkalah guru tadika oleh demikian kerana perbuatanku.
Maka, tamatlah riwayat jejari ku yang comel akibat dilibas dengan pembaris oleh guruku.
Malah, hasil karyaku dengan menggunakan sakti pembaris juga turut dipadam dan disuruhnya menulis yang baru..






2 ) Zaman Sekolah Rendah

Lokasi : Sekolah Kebangsaan Bandar Endau (tepi jalan)

Mungkin satu masa dahulu aku telah dilahirkan sebagai seorang yang kreatif dalam hal ehwal pengurusan buku tulis. Dan, oleh sebab itulah setiap kali pabila ada sahaja lembaran kerja yang perlu ditampal di dalam buku latihan, akan aku kerjakan sedaya upaya sehingga buku itu menjadi berlubang-lubang BESAR dan bertukar warna dari putih ke hitam.

Hatta, dengan hal sedemikian maka murka yang amatlah guruku kerana aku dianggap mencabar kewibawaannya. Bukuku dianggap comot dan buruk lantas dengan menggunakan teknik lontaran O' Brian, bukuku telah dilempar ke luar kelas dengan kelajuan 120 km/j oleh guru Matematikku. Aku pasrah kerana aku tahu..aku memang kreatif. Hurm..apalah nasib..






3) Zaman Sekolah Menengah

Lokasi : MRSM Mersing (dikelilingi pokok sawit)

Antara kes yang menyayat hati di sekolah. Cerita bermula setelah keputusan peperiksaan percubaan PMR telah dipaparkan. Aku, macam biasa GAGAL dalam subjek Sejarah. Sebut pasal minat..aku memang minat Sejarah walaupun aku selalu menguap dalam kelas Sejarah. Belajar Sejarah akan lebih seronok apabila ia dihayati dan bila kita cuba meletakkan diri kita di zaman itu. Tapi macam mana boleh gagal lagi? Mungkin ianya satu Chobaan..

Rentetan daripada kepasrahan yang melampau, aku malas nak tengok markah gagal aku tu berapa. Dapat 39 markah ke..30 ke..25 ke..aku tak peduli. Kalau dah gagal, nak sibuk-sibuk apa lagi kan?? Kemudian, aku ke perpustakaan bagi slot Masteri Sejarah (persediaan nak PMR).

Guruku : Siapa yang gagal subjek Sejarah baru-baru ni sila ke depan.
Aku : (berjalan pasrah ke depan)
Guruku : Berapa markah awak?
Kawan aku : ____ markah cikgu.
Guruku : Ok, duduk.
Kawan aku : ____ markah cikgu.
Guruku : Ok, duduk.
Aku : Tak tahu cikgu.
Guruku : Awak tahu kan awak gagal?
Aku : Tahu.
Guruku : Awak pergi check tak markah awak berapa?
Aku : Tak check....
PANGGGGG!!!!

Arakian, maka dilempanglah aku dengan lempangan jurus satu oleh guru sejarahku.
Maka semenjak itu, terserempak sahaja dengan cikgu Sejarah itu, secara spontannya aku akan menukar laluan ke lorong/ jalan/ arah/ lokasi lain.. Masih trauma dengan kejadian.
Tapi aku tak salahkan dia kerana lempangan jurus pertamanya, kerana itu mungkin tindakan refleks beliau dengan jawapanku.






Daripada kesemua cerita di atas, dapat aku simpulkan bahawa...dahulu, aku memang tak suka cikgu!!! Sebab, cikgu selalu marah, pukul, menjerit, denda aku.. Sebab cikgu aku jadi trauma, sebab cikgu aku jadi penakut, sebab cikgu aku menangis!

Bila dah besar, aku fikir semula. Kalau dulu cikgu tak buat semua tu....
Sekarang belum tentu aku pandai menulis.
Sekarang belum tentu aku pandai menampal kertas dengan kemas.
Sekarang belum tentu aku dapat A dalam subjek Sejarah untuk PMR dan SPM.

Kalau cikgu tak buat seperti semua cerita tadi..mungkin tak ada cerita yang aku dapat simpan sebagai kenangan. Dan tak mungkin aku dapat jadi insan sehingga ke hari ini.

Dan sekarang, akulah bakal cikgu itu..
Akulah yang bakal buat anak-anak kecil menangis,
akulah yang bakal memarahi mereka.
akulah yang bakal mengulangi perbuatan yang dahulunya guru-guruku lakukan.
Kerana aku mulai faham bahawa..
"membetulkan yang salah" itulah tugas guru.


Akhir kalam,
Selamat Hari Guru dedikasi khas untuk guru-guru saya dari sekolah tadika sehinggalah sekarang.
Terima Kasih CIKGU!
"Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara"

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Suka